TCCS Marine perkukuh ekosistem latihan maritim negara

TCCS Marine perkukuh ekosistem latihan maritim negara

SIBU, 21 Jan: Penubuhan dan perkembangan Institut Latihan TCCS Marine Sdn. Bhd. membuktikan peranan penting sektor swasta sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh ekosistem latihan maritim negara yang berkualiti, mampan dan berdaya saing.

Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Dickson Dollah, berkata pembukaan rasmi institut tersebut merupakan satu perkembangan yang amat dialu-alukan dalam usaha melahirkan pelaut dan pegawai marin yang kompeten bagi memenuhi keperluan industri perkapalan moden.

“Dalam landskap industri perkapalan yang semakin kompleks dan berisiko tinggi, aspek keselamatan pelayaran, kecekapan operasi serta pematuhan kepada perundangan antarabangsa amat bergantung kepada kualiti latihan yang diterima oleh para pelaut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Institut Latihan TCCS Marine Sdn. Bhd., Pelancaran Pusat Simulator dan Majlis Tamat Kursus di Sibu, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa setiap pusat latihan maritim perlu komited melahirkan pelaut yang berkualiti, berintegriti dan kompeten kerana mutu latihan yang diberikan mencerminkan kredibiliti kelayakan yang dianugerahkan.

TCCS Marine, yang ditubuhkan pada 30 Oktober 2023, telah diluluskan oleh Jabatan Laut Malaysia untuk mengendalikan kursus di bawah Konvensyen STCW serta memperoleh pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015.

Setakat ini, institusi tersebut menawarkan 23 jenis kursus dan telah menganjurkan 129 kursus modular serta kursus persediaan yang melibatkan hampir 1,090 peserta.

Dickson turut menyifatkan pelancaran Pusat Simulator TCCS Marine sebagai langkah strategik bagi meningkatkan keberkesanan latihan maritim.

“Penubuhan institut latihan lengkap dengan kemudahan moden dan tenaga pengajar berpengalaman bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan,” tegas beliau.

Dalam majlis sama, seramai 26 graduan berjaya menamatkan kursus profesional maritim anjuran Institut Latihan TCCS Marine Sdn. Bhd.

Salah seorang graduan, Mohd Amiruddin Rahman, 33, berkata, latihan yang diterima merangkumi aspek teori dan praktikal memastikan mereka mempunyai ilmu yang mencukupi untuk bekerja di laut.

“Selepas tamat latihan ini, saya berharap dapat mencari syarikat yang lebih baik untuk mengembangkan kerjaya ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Manakala Azehar Rasidi, 38, berkata, beliau bersyukur dapat menamatkan kursus berkenaan dan menyasarkan untuk membina kerjaya sebagai kapten kapal, termasuk merancang melanjutkan latihan dengan mengambil sijil Dynamic Positioning (DP) bagi membolehkan beliau berkhidmat sebagai master DPO.

Sebanyak tiga kursus ditawarkan iaitu Pegawai Bertugas Pengawasan Kejuruteraan 750 kW atau lebih (Pelayaran Persisiran), Pegawai Bertugas Pengawasan Pelayaran bagi kapal 500 GT atau lebih (Pelayaran Persisiran) serta Kursus Gabungan Nakhoda dan Ketua Mualim bagi kapal 3,000 GT atau lebih (Pelayaran Persisiran).-TVS


Source: TVS
Original Article: https://www.tvsarawak.my/2026/01/21/tccs-marine-perkukuh-ekosistem-latihan-maritim-negara/
Copyright Notice: This article and accompanying images are the property of the original publisher and are reproduced here for informational purposes. All rights remain with the respective copyright owner.

Related Posts:

A life on the waves
A life on the waves
Marine department backs simulator-based training for seafarers
Marine department backs simulator-based training for seafarers
TCCS Marine perkukuh ekosistem latihan maritim negara
TCCS Marine perkukuh ekosistem latihan maritim negara
JLM Sokong Penuh Penggunaan Teknologi Latihan Moden
JLM Sokong Penuh Penggunaan Teknologi Latihan Moden
TCCS Marine launches institute to strengthen Malaysia’s maritime training
TCCS Marine launches institute to strengthen Malaysia’s maritime training
Pelatih industri perkapalan disaran tidak gentar teroka kerjaya industri maritim
Pelatih industri perkapalan disaran tidak gentar teroka kerjaya industri maritim
Article
TCCS Marine Establishes Institute to Enhance Maritime Training in Malaysia
Article
TCCS Marine launches institute to strengthen Malaysia’s maritime training
Article
Marine department backs simulator-based training for seafarers